Kita tidak dapat meneka apa yang akan berlaku kepada kita pada masa hadapan. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Peranan kita hanya berusaha dan berdoa kepada Tuhan supaya sentiasa berada dalam keadaan baik, sihat dan panjang umur.
Kita pernah mendengar hari ini seorang yang kita kenal atau sayang itu dalam keadaan sihat walafiat tiba-tiba esoknya sudah meninggal dunia kerana sakit dan sebagainya.
Begitu juga dengan barang berharga atau harta bernilai yang kita miliki tiba-tiba hilang, rosak, musnah atau dicuri orang. Pangkat, kuasa dan kecantikan yang ada juga boleh hilang daripada kita cuma masa saja menentukan cepat atau lambat.
Setiap sesuatu yang kita miliki dan sayangi belum tentu akan berada lama bersama kita. Cepat atau lambat akan berlaku perpisahan atau kehilangan.
Apabila berlaku perpisahan atau kehilangan tentunya kita bersedih hati kerana sudah tiada lagi tempat kita hendak bersama atau berkomunikasi atau bergantung padanya.
Hidup mesti diteruskan. Kita bukan sahaja perlu menjaga diri sendiri tetapi juga insan lain seperti anak-anak, ibubapa dan mereka yang mengharapkan bantuan daripada kita. Sesuatu yang pergi atau hilang sudah pun berlaku. Semuanya itu tidak dapat diundur lagi.
Kita perlu menerima kenyataan itu dengan sabar dan reda. Bunyinya mudah, bak kata pepatah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Hakikatnya hati kita harus ditenang dan dipujuk kerana jika tidak kita akan mengalami masalah tekanan yang berat dan risiko berpenyakit.
Antaranya tindakan berkesan patut kita lakukan tidak lain tidak bukan adalah dengan bersabar, tabah dan memohon doa pada Tuhan untuk dibekalkan kekuatan serta perbanyakkan beristighfar.
Kita juga harus beritahu diri kita bahawa apa yang terjadi itu pasti ada hikmahnya. Selain itu kita boleh bandingkan dengan orang lain yang mendapat ujian atau kesusahan yang lebih berat lagi daripada kita.
Ujian datang tanpa diundang dan kita perlu mengatasinya dengan cara yang betul kerana setiap penyakit pasti ada rawatan dan ubatnya.
No comments:
Post a Comment