Ali, seorang kakitangan kerajaan Persekutuan bertugas di Kajang, Selangor sentiasa memikirkan bagaimanakah cara terbaik untuk menurunkan berat badannya yang semakin hari semakin bertambah.
Apabila dia melemparkan pertanyaan kepada teman-temannya bagaimanakah cara untuk mengatasinya maka jawapan yang sering diterima adalah sama sahaja iaitu memintanya supaya lebih banyak bersenam, mengamalkan diet dan jangan mengambil makanan yang berat pada waku malam.
Ketika Ali bersendirian di kamar tidur sewaktu berdiri di tepi tingkap tiba-tiba ia mengeluh seorang diri, "Manalah aku boleh tahan kalau tak makan malam. Kemudian aku perlu kurangkan makan, ini lagi susah. Tetapi aku ingin kuruskan badan, bagaimanakah caranya?".
Walau pun sering mengeluh tetapi ia tetap dengan cara lamanya iaitu tidak bersenam dan makan banyak.
Pada suatu petang ketika balik dari tempat kerja Ali teringat nasihat kawan baiknya Osman semasa sarapan pagi di kantin, "Engkau tambah bulatlah Ali, umur sudah 40 tahun, walaupun tak dikira tua tapi aku tengok sudah ramai kawan-kawan kita baru 40 tahun lebih sudah kena macam-macam penyakit. Tengok saja Usop, tiba-tiba masuk hospital kena kencing manis dan minggu lepas Dollah tak semena-mena rebah masa buat senam robik, bila bawa ke hospital dia disahkan sakit jantung, mujur umurnya panjang, cuma diberi nasihat supaya jaga kesihatan dengan lebih lagi."
Tidak semena-mena Ali berjanji pada dirinya sendiri, "Mulai esok, aku mesti joging sekurang-kurangnya 30 minit sehari selama enam bulan, aku berjanji, aku berjanji pada diri aku sendiri". Tanpa disedari ia sudah sampai di depan rumahnya dan Ali masuk ke dalam rumah dengan harapan yang menggunung untuk memulakan joging pada pagi esok.
Semenjak pagi itu Ali terus berjoging setiap hari tanpa henti walaupun dalam hujan. Pernah suatu masa dia tidak dapat keluar berjoging kerana hujan lebat ditambah dengan kilat dan petir. "Nampaknya hujan tak mahu reda, oklah aku joging dalam rumah," Ali berkata pada dirinya dan terus joging dalam rumah tanpa disedari oleh ahli keluarganya yang masih tidur dalam bilik masing-masing.
Setelah sebulan setengah berjoging, Ali terasa begitu malas untuk meneruskan joging. "Malasnya aku nak joging, nak kata sakit, tidak, nak kata cuaca tak baik, semua okey. Ah, nak malas atau nak sangat malas ke, aku tak peduli, aku mesti joging juga," bisik Ali dalam hatinya dan ia memakai kasut dan terus berjoging dalam keadaan malas tetapi mampu juga menghabiskan 20 minit.
Setelah enam bulan berlalu, Ali terjumpa dengan Osman di tempat letak kereta tempat mereka bertugas dan Osman menegur sambil berkata, "Ali, lama tak nampak". Ali tersenyum dan berhasrat meneruskan perbualan dengan Osman. "Wah, lain macam badan engkau sekarang! Engkau diet atau makan ubat kurus, badan dah steady dan fit, berapa kilo hilang?" Osman bertanya pada Ali. Ali begitu senang dengan pertanyaan itu dan terus menjawab, "Aku tak makan ubat kurus atau diet pun tidak, aku joging selama enam bulan tanpa henti selama tidak kurang 30 minit sehari. Dulu berat aku 85 kg tapi sekarang 75 kg." Osman terpegun dengan penjelasan Ali sambil menyoal. "Macam mana engkau boleh jging sampai enam bulan, tak jemu atau malas ke?" Ali menambah, "Begiini Man, malas tu memang malas, selagi kita ni manusia kalau kata tak malas nak buat sesuatu yang baik dalam tempoh yang lama, maka itu tidak normal. Jadi kalau malas tu biasalah cuma yang penting kita mesti kuat semangat, berdisiplin dan tidak berputus asa serta melawan habis-habisan kemalasan supaya apa yang kita hajati akhirnya tercapai."
Perbualan mereka berakhir sebaik sahaja waktu hampir pukul 8.00 pagi dan mereka bergegas menuju ke pejabat masing-masing untuk memulakan tugas.
Apa yang dapat kita pelajari daripada cerita di atas ialah, kita perlu bersungguh-sungguh melawan sikap malas itu supaya kita mampu mencapai apa yang kita tetapkan.