Thursday, 26 March 2020

30. MENCARI JALAN ATAU ALASAN

Pepatah mengatakan, "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih." Daya bermaksud jalan dan dalih bermakna alasan. Cuba kita ingat kembali tentang sikap kita pada masa lalu iaitu adakah tergolong dalam kumpulan orang suka mencari jalan atau alasan.

Sekiranya bersikap mencari jalan bererti kita harus mengekalkannya. Amalan ini baik kerana itu merupakan ciri utama untuk kita berjaya. Bersikap suka mencari jalan selalunya dapat memenuhi matlamat atau janji dibuat dengan seseorang. Setiap halangan atau masalah yang timbul akan dicari jalan untuk mengatasinya demi mencapai matlamat atau janji itu.

Berlainan pula dengan sikap orang yang suka mencari alasan.  Kita sentiasa mencari pelbagai alasan apabila tidak berjaya mencapai sesuatu matlamat atau janji. Kita akan menjadikan alasan itu sebagai sesuatu yang boleh diterima oleh pihak yang terlibat itu. Sikap ini harus tanpa disedari bukan sahaja akan menjadi penghalang untuk berjaya bahkan juga ditakuti akan menjadikannya sebagai amalan hidup kita.

Sejarah telah membuktikan mereka yang berjaya adalah orang yang sentiasa mencari jalan untuk mencapai matlamat bukannya mencari alasan

Tuesday, 24 March 2020

29. KEJAYAAN BILA-BILA MASA

Setiap kejayaan yang kita kecapi diikuti dengan perasaan gembira dan ceria. Kejayaan diraikan berdasarkan kejayaan yang sudah ditetapkan oleh pihak lain seperti masyarakat dan negara. Contohnya berjaya dlm peperiksaan, sukan, kerjaya, percintaan, bisnes atau penganugerahan.

Untuk mencapai sasaran itu kita terpaksa menunggu masa yg lama dan belum tentu lagi semuanya akan berhasil. Jika inilah yang kita tunggu bererti dlm setahun hanya berapa kali shj yg dapat menikmati kejayaan dan kegembiraan. Itu pun kalau berhasil.

Sebenarnya kita tidak perlu menunggu kejayaan yang dicipta oleh pihak lain sahaja tetapi kita juga boleh menciptakan sendiri kejayaan. Antaranya seperti amanah. Katakan kita merupakan seorang pegawai tinggi dalam sebuah agensi kerajaan. Kita berhadapan dengan dua pilihan iaitu sama ada menaikkan pangkat staf yang layak tetapi mempunyai hubungi peribadi yang kurang baik ddengan kita atau staf yang tidak layak tetapi mempunyai hubungan peribadi yg baik dgn kita.

Katakan kita berjaya membuat keputusan yg tepat walau pun berat iaitu kita memilih staf yg layak. Hasilnya kita meraikan kejayaan itu. Contoh lain seperti kita berhasil mengemas rumah, membaca atau menulis buku, masak makanan sedap, membaiki kereta rosak dan sebagainya. 

Setiap kali kita berjaya kita boleh meraikan bersama keluarga atau kawan-kawan. Kita boleh perbanyakkan kejayaan yang kita cipta sendiri dan tidak perlu menunggu kejayaan ciptaan pihak lain yang mengambil masa lama. Melalui cara ini kita mampu mencipta kejayaan setiap hari atau minggu atau bulan. Setiap kejayaan itu kita boleh meraikan mengikut kemampuan kita sendiri. Kita akan dapat merasakan kebahagiaan setiap kali kita meraikan kejayaan.

Kenapa kita perlu meraikan kejayaan setahun sekali atau sehari drp 365 hari pada hal kita boleh melakukannya sebanyak lebih daripada 20 kali dalam setahun untuk membahagiakan diri kita.

28. BERANI BERTANGGUNGJAWAB

Berani buat berani tanggung. Ini termasuklah dalam membuat keputusan. Bila kita membuat sesuatu keputusan kita perlu menanggung akibat daripada keputusan yang telah kita buat dan tidak kiralah sama ada keputusan itu betul atau salah.

Jangan kita hanya boleh menerima dan rasa berbangga apabila keputusan yang kita buat itu ternyata betul dan baik. Contohnya kita melantik seorang staf untuk menguruskan misi untuk menawan Gunung Everest. Ia dapat melaksanakan misi dengan jayanya dan kita pun gembira kerana telah membuat keputusan yang tepat.

Berlainan pula jika keputusan yang kita buat itu tidak memihak kepada kita atau hasilnya merugikan. Katakan kita memutuskan untuk membuka sebuah restoran masakan Arab di Semenyih. Setelah setahun perniagaan dijalankan ternyata hasilnya merugikan. Kita seharusnya menerima kenyataan itu dengan hati yang terbuka dan tidak perlu menuding jari atau menyalahkan orang lain pula seperti pihak atasan, anak buah, isteri atau suami. 

Berani buat beranilah kita tanggung biar pun hasilnya mengecewakan kerana ini boleh memberi kekuatan untuk kita meneruskan usaha sehingga berjaya.

27. BERUSAHA DAN TERUS BERUSAHA

Untuk mendapat sesuatu yang kita inginkan tidaklah mudah seperti yang kita sangka. Kita selalu nampak orang berjaya dalam bidang tertentu seperti menjadi usahawan dalam bidang menjual beras, kita pun mahu berniaga beras supaya dapat berjaya seperti usahawan itu. Sebenarnya kalau kita mendampinginya barulah kita tahu bahawa sebelum berjaya ke tahap itu ia telah berusaha berterusan tanpa henti dan pernah mengalami beberapa kali kegagalan. 

Oleh kerana ingin berjaya, ia terus berusaha tanpa mengenal putus asa. Semakin banyak kita gagal sebenarnya semakin banyak kita mendapat pengalaman. Jika kita gunakan pengalaman-pengalaman itu sudah pasti kejayaan yang bakal kita kecapi adalah tinggi atau besar.

Berapa banyak kegagalan yang kita alami kita tidak harus melihat sebagai kelemahan tetapi melihatnya sebagai kekuatan. Usia kita bukan menjadi ukuran untuk berjaya asalkan kita terus berusaha. Sekarang kita tidak hairan lagi mendengar cerita mereka yang berumur 20an sudah berjaya mendapat pendapatan bulanan melebihi RM30,000.00 bahkan ramai sudah bergelar jutawan.

Mereka berjaya bukan kerana nasib tetapi kerana mereka terus berusaha walau pun beberapa kali gagal berbanding dengan mereka yang gagal adalah kerana mereka tidak mempunyai kekuatan untuk terus berusaha dan akhirnya mereka ditinggalkan oleh orang yang terus berusaha.

Wednesday, 26 February 2020

26. CARA KITA DINILAI

Tanpa disedari bahawa anda sedang dinilai oleh orang lain. Orang itu mungkin seorang pemimpin, pengurus, ketua, anak buah, rakan, ibu bapa, swami, isteri atau keluarga anda. Bagaimanakah cara yang sering digunakan untuk menilai anda. Pada umumnya terdapat tiga cara.

Pertama, kompetensi. Antaranya seperti pengetahuan, kemahiran dan kecekapan dalam menjalankan kewajipan yang ditetapkan.

Kedua, nilai-nilai moral. Antaranya seperti amanah, ikhlas, beriman, taqwa, jujur dan tidak melakukan maksiat.

Ketiga, hubungan. Antaranya seperti sering bertanya khabar, aktif dalam aktiviti yang dianjurkan untuk masyarakat atau organisasi, sentiasa hadir apabila dijemput ke majlis perkahwinan, melawat orang sakit dan menziarahi kematian.

Ketiga-tiga aspek itu memainkan peranan penting dalam menilai seseorang dan akan menjadi penentu utama kejayaan kita.

25. JANGAN MENGELUH

Seorang pemuda memberitahu seorang dewasa bahawa dia memiliki harta yang sedikit dan rezeki yang diterimanya hanya mencukupi untuk dia meneruskan kehidupan bersama keluarganya. 

Katanya lagi, rezekinya tidak semurah rezeki kawan-kawanya yang lain walhal usaha yang dilakukannya tidak jauh beza dengan mereka. 

Kawannya memiliki kereta Honda Accord sedangkan dia cuma ada Perodua Viva. Kawanya ada rumah teres dua tingkat, dia ada satu tingkat. Kawannya ada handphone Galaxy Samsung Note 4, dia ada CSL. Kawannya ada kasut joging Nike, dia ada kasut Bata.

Dan macam-macam lagi perkara yang dibuat perbandingan dengan teman-temannya itu. Banyak sangat keluhannya,

Setelah sekian lama orang dewasa itu mendengar dengan teliti apa yang diluah oleh pemuda itu maka ia pun bersuara, 

"Adakah kamu dapat membuka mata ketika kamu bangun dari tidur pagi tadi?." 

"Ya, saya dapat membuka mata saya dan seterusnya boleh melihat." Jawab pemuda itu.

"Tahukah kamu, ada orang yang tidak dapat membuka mata dan menjadi buta ketika bangun dari tidur. Dia terus dibawa ke hospital untuk berubat tetapi masih tidak berubah. Dia sanggup membayar walaupun berjuta ringgit (dia merupakan seorang jutawan) namun matanya sudah tidak dapat dipulihkan lagi oleh mana-mana doktor."

"Kalau macam itu, nilai mata saya yang dapat melihat ini adalah lebih daripada sejuta ringgitlah pakcik. Wang banyak pun, tentunya tak ada guna jika kita tak dapat melihat." Pemuda itu menerima penjelasan orang dewasa itu dengan perasaan yang terharu.

Sebab itu kita tidak boleh mengeluh dan mengatakan kita tidak ada rezeki kerana Allah sentiasa memberi kita rezeki yang melimpah ruah cuma dalam bentuk yang berbeza sahaja iaitu ada dengan cara wang ringgit dan ada pula dengan cara lain seperti sihat, ketenangan, kewarasan dan sebagainya.

Tuesday, 25 February 2020

24. MASA UNTUK BERUBAH

Kalau kita sudah berkeluarga dan mempunyai beberapa orang anak tidak ada siapa yang berani berkata bahawa kesemua anaknya itu akan berpuas hati seratus peratus dengan kita. Apakah punca yang menyebabkan ana-anak tidak tidak berpuashati dengan ibu bapa. Biasanya kita akan menemui jawapan dalam dua aspek iaitu:

Pertama, mereka tidak berpuas hati kerana kita sering menasihatkan mereka supaya rajin belajar, buat kerja rumah, mengemas rumah, berbaik-baik dengan adik beradik, tidak meninggalkan solat, menghormati orang tua, berjimat-cermat, tidak ponteng sekolah, dan perkara-perkara yang memberi kebaikan kepada mereka.

Kedua, mereka tidak puashati dengan kita kerana kita suruh mereka rajin tetapi kita malas, kita suruh mereka jangan ponteng sekolah tetapi kita sering tuang kerja, kita suruh mereka jangan menbazir tetapi kita banyak habiskan wang untuk perkara yang tidak berfaedah, kita suruh mereka adil tetapi kita selalu pilih kasih, kita suruh mereka jaga amanah tetapi kita selalu terima rasuah.

Jika disebabkan aspek pertama, kita tidak perlu berubah kerana tujuan adalah baik. Akan tetapi jika disebabkan aspek kedua, kita perlu berubah supaya anak-anak kita akan menghormati kita sama ada sewaktu kita masih ada atau sebaliknya. 

Saturday, 15 February 2020

23. MENDEKATI TUHAN

Semakin kita mendekati Tuhan semakin rajin kita melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarangNya. Jika kita selalu memikirkan sifatNya, kita akan dapat merasakan kehidupan yang lebih ceria. Allah bersifat maha kuasa, maha penyayang, maha adil dan maha pengampun.

Apabila kita mendekatNya dengan tulus, Allah akan dekat dengan kita. Sebaliknya kita harus berhati apabila rapat dengan manusia kerana ditakuti kita akan berantung kepada manusia sehingga boleh menjatuhkan darjat kita sebagai manusia. Misalnya kita sebagai pegawai tinggi di sebuah jabatan sanggup memikul beg golf pegawai berpangkat rendah dari jabatan lain yang bertanggungjawab dengan kenaikan pangkat. 

Mencintai Allah tidak wujud perasaan takut akan kehilangan sesuatu bahkan boleh bertambah lagi rahmat dan nikmatNya. Berbeza dengan mendekati dan merapati manusia boleh menjadikan kita sentiasa khuatir dan takut akan kehilangan sesuatu yang dikawal oleh manusia yang kita dekati itu.

Allah menyukai orang yang beriman dan bertakwa dan tidak suka orang yang tidak ikhlas. 

22. KEBAIKAN BERSIKAP JUJUR

Menjadi orang jujur ​​bererti anda memilih untuk bersikap tidak berbohong, mencuri, menipu atau memperdayakan. Apabila kita jujur, kita membina kekuatan peribadi dan membolehkan kita untuk menjadi insan yang disenangi Tuhan dan orang lain.

Pada awal kehidupan, kita mengetahui bahawa ketidakjujuran mendapat untung jangka pendek sahaja. Ia boleh menyelesaikan masalah dengan cepat dan boleh mecapai tujuan kita.

Ia lebih mudah untuk menyenangkan orang di sekeliling kita dan kita semua memiliki tabiat sama cuma darjahnya sahaja yang berbeza. Malangnya, keuntungan jangka pendek itu membuahkan kerugian dalam jangka panjang.

Amalan kehidupan yang jujur ​​memerlukan usaha berterusan terutamanya pada peringkat permulaan. Ia memerlukan niat untuk memilikinya dan langkah-langkah awal harus dilakukan.

Apabila ia mula mendapat momentum dalam hidup anda dan anda mula menyedari banyak manfaatnya, kejujuran akan menjadi lebih mudah dan mengembirakan untuk diamalkan.

Ada empat kebaikan utama apabila kita jujur.

1- Kejujuran menarik kejujuran. Persahabatan dengan rakan menjadi lebih akrab kerana mereka tertarik dan menghargai kejujuran anda. Mereka merasa bangga dapat mendekati dan berkawan dengan orang jujur. Kawan-kawan yang jujur akan mencari orang jujur untuk didampingi. Anda di kelilingi oleh orang-orang terbaik dan dipercayai oleh orang lain. Orang jujur memiliki tahap keyakinan dan ​​kepercayaan diri yang tinggi. Merubah sikap daripada jujur kepada tidak jujur bermakna menghilangkan kekuatan dan keyakinan diri sendiri.

2 - Meningkatkan tahap kesihatan anda. Kejujuran telah dikaitkan dengan impak yang boleh mengurangkan selsema, keletihan, kemurungan dan kecelaruan. Ketidakjujuran perlu dielakkan. Ketidakjujuran memberi kesan sebaliknya yang boleh mengurangkan tahap kesihatan anda. Sepatah perkataan yang tidak jujur seperti ya atau tidak dalam sesuatu pengakuan dengan pihak tertentu boleh memberi kesan ketidaktenangan bertahun-tahun lamanya ke atas diri anda.

3 - Hubungan lebih harmonis. Tanpa kejujuran kata-kata seperti "I love you" tidak ada asas bagi hubungan yang berkekalan atau menyeronokkan. Perhubungan hanya sementara dan tidak berkekalan setelah diketahui luahan itu sebenarnya tidak jujur. Kejujuran adalah suara untuk cinta yang membina kepercayaan. Tanpa kejujuran menjadi satu pembohongan dengan sendirinya menghasilkan perhubungan yang jelek. Perhubungan kasih, sayang dan cinta lebih harmonis melalui kejujuran kita tanpa mengira siapa seperti kekasih, suami isteri dan keluarga, saudara mara dan rakan.

4 - Dapat mengelakkan kekeliruan. Apabila orang tidak mengetahui kebenaran, mereka akan cuba meneka. Ketidakjujuran ​​tentang sesuatu boleh menyebabkan orang ramai cuba memikirkan apa sebenarnya yang anda tidak nyatakan itu. Ini boleh mewujudkan gossip, yang kemudiannya boleh memupuk lebih pembohongan dan penipuan. Akhir sekali boleh menyebabkan lebih ramai orang berasa terluka dan dikhianati apabila kebenaran akhirnya terbongkar. Semuanya ini boleh dielakkan jika kejujuran telah digunakan pada awal-awal lagi.

Perhubungan atau persahabatan terbaik adalah kejujuran anda. Ia mungkin sukar untuk dilafaz dan boleh menimbulkan konflik tetapi percayalah dalam jangka panjang kejujuran memberi cukup banyak manfaat kepada diri anda dan orang lain.

21. HIDUP MESTI DITERUSKAN

Kita tidak dapat meneka apa yang akan berlaku kepada kita pada masa hadapan. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Peranan kita hanya berusaha dan berdoa kepada Tuhan supaya sentiasa berada dalam keadaan baik, sihat dan panjang umur. 

Kita pernah mendengar hari ini seorang yang kita kenal atau sayang itu dalam keadaan sihat walafiat tiba-tiba esoknya sudah meninggal dunia kerana sakit dan sebagainya. 

Begitu juga dengan barang berharga atau harta bernilai yang kita miliki tiba-tiba hilang, rosak, musnah atau dicuri orang. Pangkat, kuasa dan kecantikan yang ada juga boleh hilang daripada kita cuma masa saja menentukan cepat atau lambat.

Setiap sesuatu yang kita miliki dan sayangi belum tentu akan berada lama bersama kita. Cepat atau lambat akan berlaku perpisahan atau kehilangan. 

Apabila berlaku perpisahan atau kehilangan tentunya kita bersedih hati kerana sudah tiada lagi tempat kita hendak bersama atau berkomunikasi atau bergantung padanya.

Hidup mesti diteruskan. Kita bukan sahaja perlu menjaga diri sendiri tetapi juga insan lain seperti anak-anak, ibubapa dan mereka yang mengharapkan bantuan daripada kita. Sesuatu yang pergi atau hilang sudah pun berlaku. Semuanya itu tidak dapat diundur lagi.

Kita perlu menerima kenyataan itu dengan sabar dan reda. Bunyinya mudah, bak kata pepatah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. 

Hakikatnya hati kita harus ditenang dan dipujuk kerana jika tidak kita akan mengalami masalah tekanan yang berat dan risiko berpenyakit.

Antaranya tindakan berkesan patut kita lakukan tidak lain tidak bukan adalah dengan bersabar, tabah dan memohon doa pada Tuhan untuk dibekalkan kekuatan serta perbanyakkan beristighfar. 

Kita juga harus beritahu diri kita bahawa apa yang terjadi itu pasti ada hikmahnya. Selain itu kita boleh bandingkan dengan orang lain yang mendapat ujian atau kesusahan yang lebih berat lagi daripada kita.

Ujian datang tanpa diundang dan kita perlu mengatasinya dengan cara yang betul kerana setiap penyakit pasti ada rawatan dan ubatnya.

20. SUKA DAN TIDAK SUKA

Suka dan tidak suka adalah sebahagian daripada kehidupan kita. Kenapa kita suka atau tidak suka tentu ada sebabnya. Antaranya pengaruh mata, hidung, mulut dan telinga yang ada pada kita.

Mata, kita nampak bunga cantik kita pun suka. Kita lihat orang buang sampah dari kereta ketika memandu di jalan raya, kita pun tidak suka.

Hidung, kita masuk restoran yang baunya busuk, kita pun tidak suka. Kita membeli minyak wangi jenama Miracle, kita pun suka.

Mulut, kita makan roti canai lama yang keras, kita tidak suka. Kita makan sate ayam panas, kita pun suka.

Telinga, bila kita dengar orang mengumpat hal kita, tentu kita tidak suka. Kita suka bila kita dengar cikgu mengajar anak kita dengan baik.

Sesuatu perkara berlaku tentu ada sebabnya dan sebab itulah Tuhan suka bila kita buat perkara baik dan tak suka bila kita buat hal yang tidak baik. Kita juga tahu apa akibatnya jika Tuhan suka atau tidak sukakan kita. Mudah sahaja perhitungannya, bila Tuhan sukakan kita, perjalanan hidup kita dilimpahi rahmat dan berkat lantas membahagiakan kita walaupun dari segi kewangan tidaklah seberapa. Akan tetapi apakah yang akan terjadi pada diri kita jika Tuhan tidak sukakan kita. Pastinya perjalanan hidup kita tidak mendapat keberkatan dan sentiasa ditimpa kesusahan. 

Buatlah pilihan awal yang betul kerana setiap yang betul itu membuahkan hasil yang betul dan diredhai Allah.

Friday, 14 February 2020

19. MENANGANI ADUAN PELANGGAN

Ada pembekal ada pelanggan; ada penjual ada pembeli; dan ada pemerintah yang berfungsi sebagai pemberi perkhidmatan maka ada rakyat selaku pengguna perkhidmatan. 

Pembekal atau penjual atau pemerintah boleh membuat kenyataan bahawa mereka menyediakan produk atau perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti.

Sejauhmanakah kenyataan atau dakwaan itu benar hanya boleh ditentukan oleh pengguna atau pelanggan. Katakan kita menjual kuetiau goreng dan tentu sahaja pelanggan itulah yang boleh memberi maklum balas sama ada masakan kita itu sedap atau tidak.

Demikian juga jika kita merupakan sebuah agensi kerajaan yang memberi perkhidmatan kepada orang ramai misalnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Orang yang berurusan dengan JPJ akan menentukan sama ada perkhidmatan oleh JPJ itu memuaskan atau tidak. 

Sebagai penjual atau pengeluar atau pemerintah perlu mendapat maklumbalas pelanggan. Jika positif kita kekalkan dan jika negatif kita buat penambahbaikan.

Maklumbalas terdiri daripada beberapa jenis. Biasanya cara lembut atau kasar. Contoh lembut seperti seorang pengguna yang tidak berpuas hati dengan sikap seorang pegawai Imigresen lantas dia menyampaikan teguran itu kepada pihak atasan melalui peti cadangan.

Contoh kasar pula dengan mendedahkan ketidak puashatiannya melalui media sosial termasuk Facebook atau WhatsApp. Diceritakan sepuas hatinya tentang keburukan atau salah laku oleh kakitangan syarikat atau penjual atau agensi kerajaan.

Apa yang harus dilakukan oleh mereka jika pengguna atau pelanggan bertindak secara kasar.

Tentu ada caranya. Kita tidak boleh ikut rentak pelanggan. Apabila pelanggan tidak berpuas hati dengan kita, janganlah kita pula tidak berpuas hati dengan pelanggan. Sebabnya jika pelanggan lari bererti gulung tikarlah syarikat kita. Andainya kita adalah agensi kerajaan bererti sampai bila-bilalah kita dikenali sebagai agensi yang tidak mahu berubah dan mendapat imej buruk di mata masyarakat.

Jika kita mendapat maklumbalas buruk atau negatif, kita jangan cepat melenting dan terus menghukum pelanggan dengan kenyataan yang emosional. 

Terbaik untuk kita lakukan adalah dengan memaklumkan kepada pelanggan tersebut dan masyarakat bahawa kita akan menyiasat secara menyeluruh dakwaan pelanggan itu.

Daripada hasil siasatan itu nanti kita akan mengambil tindakan seperti, tindakan tegas berdasarkan peraturan sedia ada terhadap pihak yang terbabit, dan jika dakwaan itu tidak benar kita akan mengambil tindakan termasuk tindakan tertentu ke atas pelanggan tersebut. 

Rumusannya, kita perlu berjanji untuk membuat penambahbaikan setiap masa dan memastikan pengguna atau pelanggan mendapat produk atau perkhidmatan terbaik daripada kita.

18. BERKENAAN IKHLAS

Saya ditanya oleh seseorang tentang ikhlas. Setelah membuat beberapa penelitian, ulasan adalah seperti berikut. 

Ali memegang jawatan pegawai kerajaan. Ali mengajak anak buahnya Amran makan malam di sebuah restoran. Amran dapat memenuhi ajakan Ali.

Ali bersara dan mengajak Amran makan malam. Amran tak dapat memenuhi ajakan itu kerana ada hal tapi dia berjanji pada Ali satu hari nanti dia akan hubungi Ali untuk makan malam.

Setelah setahun menunggu, Ali menghubungi Amran tapi masih tidak dapat penuhi kerana sibuk dan berjanji akan hubungi Ali dalam masa yang sewajarnya. Ali terus menunggu. Sehingga dua tahun keadaan masih tidak berubah.

Satu hari tiba-tiba Ali dilantik oleh kerajaan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. 

Tak berapa lama kemudian, Amran menghubungi Ali dan mengajak makan malam. Ali tiada halangan dan mereka berdua makan malam di Old Town Kopitiam di Kuala Lumpur.

Adakah Amran ikhlas. Pastinya ramai berpendapat tidak ikhlas.

17. SEDEKAH ITU LUAS

Kita selalu diingatkan oleh pelbagai pihak supaya jangan lupa untuk bersedekah. Banyak orang berfikir sedekah itu berupa wang semata-mata. Sebenarnya sedekah tidak semestinya wang. Kita mengambil botol minuman yang dibuang di taman mainan dan membuang ke dalam tong sampah juga adalah sedekah.

Di Mekah, sepasang jemaah haji dari Jepun pada tahun 2018 mengutip sampah sepanjang laluan mereka ke tempat ibadah Masjidil Haram.

Kita sering diberitahu oleh banyak pihak seolah-olah sedekah itu terhad kepada wang semata-mata sedangkan sedekah itu luas pengertiannya termasuklah tenaga, fikiran, tulisan, nasihat dan sebagainya. Didiklah diri kita dan orang lain untuk bersedekah seperti disebutkan di atas.

16. IMAN DAN TAKWA

Setiap orang ingin dirinya menjadi orang beriman. Keimanan bukan suatu perkara yang mudah untuk kita perolehi. Setiap kali kita mendengar berita kematian seseorang, kita selalu mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama orang beriman. Tempat orang beriman apabila meninggal dunia adalah di syurga.

Keimanan boleh diperolehi melalui usaha atau proses yang berterusan iaitu takwa. Melalui ketakwaan barulah kita boleh mencapai keimanan. Tanpa ketakwaan kita tidak akan dapat memperolehi keimanan. 

Takwa banyak diberi tafsiran oleh agamawan dan sarjana. Secara umum takwa bermaksud takut kepada Allah. Apabila kita takut kepada Allah, kita sentiasa melakukan perkara yang baik atau disuruhNya dan kita tidak melakukan perkara yang tidak baik atau dilarangNya.

Takwa merupakan jambatan keimanan.

15. MEMAAFKAN ITU LEBIH BAIK

Katakan kita sedang membersihkan halaman rumah, tiba-tiba jari telunjuk kiri tertusuk masuk serpihan kayu tajam bersaiz kecil. Kita tidak mencabutnya dan membiarkan serpihan itu terus berada di situ kerana menganggap perkara remeh sahaja.

Setelah seminggu dibiarkan, jari itu terasa sakit namun ditahan sahaja kesakitan dan serpihan itu masih tidak dicabutnya. Jariri kita bernanah dan kesakitan bukan sahaja dirasai di bahagian tangan tetapi seluruh badan terasa sakit.

Akhirnya kita mengambil keputusan untuk mencabut keluar serpihan kayu itu dan pergi ke klinik untuk dirawat oleh doktor. Beberapa hari jari kitasembuh seperti sedia kala dan kita kembali sihat dan ceria.

Begitulah dengan kehidupan kita. Selagi kita tidak memaafkan orang lain yang membuat salah terhadap kita selama itulah kita menanggung kesakitan. Bukannya orang yang membuat salah kepada kita yang sakit tetapi kita kerana mengingat perkara pahit yang sudah berlalu akan memberi kesan tidak baik untuk diri kita sendiri.




Memaafkan orang bersalah kepada kita sangat pahit dan samalah seperti mencabut serpihan kayu yang melekat di kulit adalah menyakitkan tetapi lebih baik dicabut daripada dibiarkan melekat.






Memaafkan bererti tidak membiarkan kesakitan pada diri kita berlanjutan.








Biarlah Tuhan yang menentukan apakah balasan yang akan diterima oleh orang yang bersalah kepada kita itu.

14. MENCARI JALAN ATAU ALASAN

Pepatah mangatakan, "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih."

Daya bermaksud jalan dan dalih bermakna alasan. Cuba kita imbas kembali sikap kita pada masa lalu iaitu adakah kita berada dalam kategori orang yang suka mencari jalan atau mencari alasan dalam hidup kita.

Sekiranya kita berada dalam kategori suka mencari jalan kita perlu mengekalkanya. Sikap seperti ini amat baik kerana itu merupakan ciri utama untuk menjadi orang berjaya.

Orang yang suka mencari jalan sentiasa mempunyai idea untuk memenuhi matlamat atau janjinya. Setiap halangan atau masalah yang timbul akan dicari jalan untuk mengatasinya demi mencapai matlamat itu.

Berlainan pula dengan kalau sikap  kita suka mencari alasan. Kita sentiasa mencari pelbagai alasan apabila tidak berjaya mencapai sesuatu matlamat atau janji yang ditetapkan. Kita selalu sahaja mencpita alasan supaya boleh oleh pihak yang terlibat. Sikap ini harus kita ubah kerana merupakan penghalang utama untuk kita berjaya.

Mengamalkan sikap suka mencari jalan dan menghindarkan sikap suka memberi alasan merupakan tangga kejayaan.

Thursday, 13 February 2020

13. DUA JENIS PENYESALAN

Kita mungkin menyesal selepas tidak melakukan maksiat atau melakukannya. Katakan anda telah keluar makan malam dengan seorang teman wanita anda. Pada masa itu anda berpeluang untuk menyewa bilik hotel dan menidurinya.  Anda tidak mengambil peluang itu tetapi menghantar pulang ke rumahnya sebaik sahaja habis makan malam.

Ketika kita berbaring di atas katil untuk tidur lantas teringat peristiwa bersama teman wanita tadi sambil berkata, "Menyesalnya aku tidak mengambil kesempatan meniduri teman wanitaku tadi, lagi pun aku boleh bertaubat jika aku terlanjur." 

Itu merupakan menyesal jenis pertama. Menyesal jenis kedua ialah apabila kita berkata, "Menyesalnya aku meniduri teman wanitaku sehingga  berlaku keterlanjuan."  

Antara kedua-dua jenis penyesalan itu, mana satukah yang lebih baik. Sudah tentu menyesal jenis pertama adalah lebih baik.

12. BERBAKTI KEPADA IBUBAPA

Kita selalu sanggup menghabiskan wang untuk memenuhi keperluan diri sendiri, isteri, anak-anak, teman wanita atau boss tetapi jarang di kalangan kita yang sanggup menghabiskan sebanyak itu untuk ibubapa.

Setiap kali apabila ibubapa memerlu sesuatu setiap kali itulah kita mempunyai pelbagai alasan sedangkan jika untuk pihak yang seperti disebutkan di atas kita tidak ada pun alasan timbul bahkan sanggup berhutang bagi memenuhi kehendak mereka itu.

Cuba ingat kembali beberapa tahun yang lepas berapa kerapkah kita sanggup menghabiskan wang untuk ibubapa berbanding dengan yang lain. Pemberian kita kepada ibubapa hanya sedikit sahaja.

Andaikan itulah sikap kita, cubalah kita ubahkan dengan memberi keutamaan kepada ibubapa pula. Apabila kita berubah nescaya selepas itu kita akan dapat merasakan perubahan dalam hidup iaitu daripada seorang susah kepada senang, sedih kepada gembira, kurang wang kepada murah rezeki atau daripada stress kepada tenteram. Itulah rahsia kebaikan apabila kita berbakti kepada kedua ibubapa.

Monday, 10 February 2020

11. DOA DAN KETENTUAN

Berdoa kepada Tuhan untuk mendapat sesuatu yang kita ingin dan usahakan amat digalakkan. Doa adalah permintaan atau permohonan kita kepada Allah agar apa yang kita ingin dimakbulkanNya. Dalam setiap doa kita perlu menaruh keyakinan tinggi dan akan menerima apa sahaja ketentuan Tuhan.

Sebarang permintaan kita kepada Allah melalui doa boleh jadi dimakbul atau tidak. Ini disebabkan Dia lebih mengetahui segala kebaikan dan keburukan tentang sesuatu yang kita mohonkan itu. Jika doa kita tidak dipenuhi kita tidak usah bersedih kerana ketentuan itu datang daripada Allah. Kita perlu menerima dengan bersabar dan redha kerana Allah membuat ketentuan itu demi kebaikan dan kemampuan kita. Firman Allah yang bermaksud, "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah: Ayat 286). 

Demikian juga apabila Allah hendak memberi sesuatu bernilai berupa rahmat kepada kita maka tidak ada siapa pun boleh menghalang atau jika Allah mahu menghalang kita daripada memperolehi sesuatu juga tidak ada siapa boleh menghalang. Firman Allah yang bermaksud, "Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya. Dan apa saja yang Allah tahan, maka tidak seorang pun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu." (Fathir: Ayat 2). 

Setelah berdoa dan berusaha kita perlu redha dengan ketentuan Allah kerana semuanya itu mengandungi hikmah dan rahmat daripadaNya untuk kita.

Sunday, 9 February 2020

10. TIDAK BERPUTUS ASA

Memiliki dan mengamalkan sifat yang tidak berputus asa bermakna anda sudah disifatkan sebagai orang yang berjaya.

Biasanya orang yang tidak mudah berputus asa akan sentiasa berhadapan dengan pelbagai halangan dan cabaran tetapi disebabkan oleh sikapnya yang tidak pernah mengenal putus asa akhirnya ia berjaya. Dia percaya dengan hanya menunggu beberapa langkah atau detik sahaja lagi kejayaan sudah berada di hadapan.

Alangkah ruginya jika kita berputus asa dengan menghentikan usaha sedangkan tanpa kita sedari bahawa kita sudah berjaya melakukannya sebanyak 90 peratus dan kejayaan sedang menanti anda hanyalah tinggal 10 peratus sahaja lagi. Akan tetapi disebabkan oleh sifat berputus asa akhirnya kita tidak berjaya dan menjadi orang yang rugi.

Untuk tidak berputus asa kita perlu mengamalkan sifat-sifat seperti sabar, yakin akan berjaya walau pun mengambil masa yang lama, berani menghadapi kegagalan berkali-kali, belajar melalui kegagalan lampau, percaya bahawa kejayaan atas kebenaran merupakan kejayaan yang sejati dan sentiasa mematuhi ajaran agama.

Antara tokoh terkenal yang berjaya hasil daripada sifat yang tidak berputus asa ialah Thomas Edison (1847-1931). Beliau berjaya mencipta mentol lampu setelah menempuh kegagalan melebihi 1000 kali.

Contoh kedua ialah Khalid Al Walid (592-642). Beliau merupakan panglima tentera kerajaan Islam yang berjaya mengalahkan pasukan tentera yang sangat digeruni oleh pihak lawan iaitu Byzantine dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja. Walau pun beliau pernah dilucutkan oleh Khalifah Omar sebagai ketua atau panglima namun Khalid tetap berjuang sebagai prajurit biasa tanpa berputus asa sehingga kemenangan sentiasa berpihak kepada pasukannya.

Apabila ditanya oleh sahabatnya kenapa beliau tidak menentang keputusan Khalifah Omar, beliau menjawab, “Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Omar”.

9. MENILAI DIRI SENDIRI

Manusia dihidupkan sementara menunggu mati. Selepas mati manusia dihidupkan semula dan di situlah akan kekal selama-lamanya. Itulah dinamakan alam akhirat. Kehidupannya berbeza kerana ada syurga dan neraka. Syurga ertinya nyamanlah kehidupan dan jika di neraka maka sengsaralah kita.

Di mana akhirnya kita bergantung kepada sikap dan kelakuan semasa kita hidup di dunia. Lebih banyak kita membuat kebaikan, janji Allah ialah syurga dan begitulah di sebaliknya apabila lebih banyak kita membuat keburukan, ke nerakalah jawabnya.

Jika kita banyak membuat kebaikan, ia hendaklah dilakukan secara berterusan sepanjang masa sehiggalah ke akhir hayat. Jika banyak melakukan kesalahan dan keburukan dalam hidup kita, ia perlu dibuat perubahan dan bertaubatlah dengan segera tanpa menunggu waktu yang sesuai.

Salahkanlah diri sendiri setiap kali anda membuat kesalahan dan jangan sekali-kali kita menyalahi orang lain yang menyebabkan kita bertindak sedemikian. Tuhan akan memasukkan seseorang itu ke dalam neraka kerana salah lakunya sendiri bukan disebabkan oleh perbuatan orang lain ke atas dirinya.



Friday, 7 February 2020

8. KEZALIMAN

Kezaliman berlaku apabila wujud kekuatan dan kelemahan di antara dua pihak. Pihak yang kuat boleh bertindak zalim terhadap pihak yang lemah kerana mereka tidak ada kemampuan untuk bertindak balas. Kekuatan itu meliputi kuasa, kedudukan, harta dan pengaruh. 

Faktor yang menyebabkan kita melakukan kezaliman seperti dendam, tamak, takut kehilangan sesuatu yang dimiliki dan ingin menunjukkan kekuasaan. Perbezaan pendapat dan konflik sering berlaku di kalangan individu dalam sesebuah organisasi atau masyarakat. Ketika pangkat yang disandang sama tidak wujud tindakan untuk melakukan kezaliman ke atas pekerja berkonflik itu. Apabila seorang berjaya dinaikkan pangkat dan rakan konfliknya itu menjadi pekerja bawahannya itu bererti wujud peluang untuk melakukan kezaliman yang bersifat denda.

Kita boleh menzalimi seseorang tetapi jika boleh kita bersikap lebih positif dengan melupakan perkara yang lepas dan ini adalah satu sikap yang sangat mulia. Sekiranya kita tetap ingin melayanani perasaan dendam kita akan sanggup bertindak tidak adil dan zalim kepadanya.

Orang yang melakukan kezaliman biasanya akan merasa puas kerana dapat melakukan sesuatu yang terbuku sebelum ini. Bagaimana pun kita harus ingat doa orang yang dizalimi dimakbulkan Tuhan. Orang yang zalim akan puas atau senang hati dalam jangk masa pendek sahaja kerana dalam jangka panjang dia akan menerima kesusahan sebagai balasan Tuhan atas tindakannya itu.




Wednesday, 5 February 2020

7. HUBUNGAN BAIK DENGAN PEKERJA

Hubungan baik antara pemimpin dan pekerja adalah penting dalam sesebuah organisasi. Tugas dan tanggungjawab mereka berbeza tetapi matlamat adalah sama iaitu untuk memajukan organisasi. Tanpa pekerja berkualiti proses pengeluaran produk atau perkhidmatan boleh terjejas.

Pemimpin dan pekerja saling bergantung. Organisasi memerlukan pemimpin berkebolehan dan pekerja yang cekap. Pemimpin harus meningkatkan produktiviti dan kualiti pekerja pada setiap masa bagi memastikan matlamat organisasi boleh dicapai.

Hubungan tidak baik dengan pekerja boleh menyebabkan mereka bekerja pada tahap produktiviti dan kualiti rendah. Mungkin berlaku kadar berhenti kerja adalah tinggi. Setiap pengambilan baru memerlukan tenaga, masa dan kos. 

Untuk mengekalkan pekerja dalam organisasi, pemimpin perlu mewujudkan hubungan baik dengan pekerja. Kebajikan dan komunikasi dengan mereka perlu dipertingkatkan pada setiap masa. Pemimpin harus banyak bertanya soalan dengan pekerja dan menjadi pendengar yang baik. Kita boleh mendapat jawapan yang banyak apabila kita menanyakan soalan yang banyak. Daripada jawapan itu kita perlu memberi perhatian untuk diselesaikan.

Setiap kejayaan pemimpin dalam menyelesaikan masalah pekerja memberi kesan baik kepada organisasi seperti masalah pekerja berhenti kerja akan berkurang dan produktiviti pekerja meningkat.





6. PERHATIAN UNTUK PENGUCAP

Komunikasi mewujudkan dua pihak iaitu orang yang pengucap dan pendengar. Di pihak mana kita berada bergantung kepada situasi. Mungkin sebagai pengucap atau pendengar ataupun kedua-keduanya sebagai pengucap dan juga pendengar. 

Kedua-dua mempunyai matlamat dan persepsi yang berbeza. Pengucap berharap pendengar memberi tumpuan dan dapat menerima perkara yang diperkatakan. Pendengar pula mahu pengucap berkata perkara benar dan jujur.

Kesilapan yang sering dilakukan oleh pengucap ialah:

a) Menganggap pendengar itu percayai akan semua kata-katanya.

b) Bertujuan untuk menunjukkan ia merupakan seorang yang baik, bijak atau berkebolehan.

c) Memaksa pendengar secara tidak langsung supaya menerima kata-katanya dengan menyebut perkataan tertentu seperti betul tak, betul tak saya cakap, kan, ya kan, faham tak, boleh faham tak dan lain-lain.

d) Seolah-olah apa yang dia cakap itu semuanya betul dan jika sepatah pendengar komen maka 10 patah akan dibalas. Biasanya orang yang bersikap sedemikian adalah terdiri daripada ketua atau boss.

e) Menganggap pendengar itu berkebolehan atau berpengetahuan lebih tinggi daripadanya menyebabkan ia teragak-agak untuk berkata.

Menghindarkan tanggapan seperti di atas kita dapat berkomunikasi dengan baik dan tenang.

5. KAHWIN LEBIH

Kalau ditanya pada lelaki yang belum kahwin, adakah kahwin dua atau lebih itu bagus. Rata-rata akan menjawab bahawa satu sudah memadai. Akan tetapi beberapa tahun selepas berumahtangga, lain pula jawapannya. Misalnya mereka akan berkata, "Apa salahnya kalau kahwin lebih, yang penting mampu." Tak kisahlah apa jua pendirian anda tetapi yang penting sebelum anda ingin berkahwin biarlah fikir masak-masak. Jangan bila sudah kahwin baru menyesal dan mulalah nak menasihatkan orang lain supaya jangan kahwin dua takut jadi susah macam dirinya. Anda boleh mengambil iktibar melalui beberapa pandangan yang disuarakan oleh kawan-kawan saya.

Seorang kawan saya bernama Ramli memberitahu saya bahawa beliau tak nak kahwin dua, "Aku tak nak kahwin dua bukan kerana masalah aku takut bini tapi masalahnya bini tak takut aku". Zambri pula mencelah, "Aku tak nak kahwin lebih bukannya apa, bini aku selalu perli aku, katanya di akhirat besok ada segolonngan manusia berjalan senget atau terhincuk-hincuk dan mereka adalah orang-orang kahwin lebih tetapi tidak mampu bersikap adil kepada isteri-isteri mereka. Jadi aku tak nak jalan senget maka satu cukuplah." Mat Dom pula lain ceritanya, "Aku dah ada tiga isteri, nasihat aku jangan engkau kahwin dua, nanti cukup susah. Tapi kalau engkau nak juga, kahwin tiga takpe. Hahaha."

Soal nikah kahwin jangan dipandang mudah dan ringan. Ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk dipikul oleh seorang lelaki terhadap isterinya. Dalam memilih jodoh mestilah berhati-hati. Jangan kerana nafsu semata-mata. Untuk melawan atau meredakan nafsu ada macam-macam cara seperti berpuasa, bersukan dan membaca buku yang tidak menjurus kepada perkara yang membangkitkan nafsu.

Dalam satu jamuan makan malam seorang teman bernama Mat Zin bertanya, "Kenapa ramai lelaki cakap pasal nak kahwin lebih dan kebanyakannya wanita yang muda dan cantik menjadi pilihan mereka." Kawan-kawan yang mendengar tak menjawab kerana mereka percaya Mat Zin sudah mempunyai jawapan, elok beri peluang kepadanya sahaja. "Sebab mereka nak lepaskan nafsu je, kalau dia betul-betul nak, kenapa tak pilih yang beragama walaupun janda atau sudah berumur?" Mat Zin menjawab sambil tersenyum. Rasulullah bersabda, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

Selain soal memilih isteri yang beragama tidak kira untuk yang pertama atau kedua terdapat satu lagi faktor yang sangat penting perlu diambilkira iaitu kemampuan untuk berlaku adil terhadap isteri-isteri. Bunyinya mudah tetapi nak memasti dan bersifat adil adalah tugas yang sangat berat untuk dipikul oleh insan atau manusia yang serba kekurangan dan tidak sempurna. Firman Allah swt yang bermaksud, “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu menikahinya), maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga, atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya." (QS. An-Nisaa’ : 3).

Sewajarnya difikirkan semasak-masak dan sedalam-dalamnya sebelum anda membuat keputusan untuk kahwin lebih terutamanya dari aspek keagamaan dan keadilan agar rumahtangga yang anda bina selama ini kekal bahagia hingga ke anak cucu. Kalau anda fikir anda boleh berlaku adil, tepuklah dada dan tanyalah selera anda!

4. MELAWAN SIKAP MALAS

Ali, seorang kakitangan kerajaan Persekutuan bertugas di Kajang, Selangor sentiasa memikirkan bagaimanakah cara terbaik untuk menurunkan berat badannya yang semakin hari semakin bertambah. 

Apabila dia melemparkan pertanyaan kepada teman-temannya bagaimanakah cara untuk mengatasinya maka jawapan yang sering diterima adalah sama sahaja iaitu memintanya supaya lebih banyak bersenam, mengamalkan diet dan jangan mengambil makanan yang berat pada waku malam. 

Ketika Ali bersendirian di kamar tidur sewaktu berdiri di tepi tingkap tiba-tiba ia mengeluh seorang diri, "Manalah aku boleh tahan kalau tak makan malam. Kemudian aku perlu kurangkan makan, ini lagi susah. Tetapi aku ingin kuruskan badan, bagaimanakah caranya?". 

Walau pun sering mengeluh tetapi ia tetap dengan cara lamanya iaitu tidak bersenam dan makan banyak. 

Pada suatu petang ketika balik dari tempat kerja Ali teringat nasihat kawan baiknya Osman semasa sarapan pagi di kantin, "Engkau tambah bulatlah Ali, umur sudah 40 tahun, walaupun tak dikira tua tapi aku tengok sudah ramai kawan-kawan kita baru 40 tahun lebih sudah kena macam-macam penyakit. Tengok saja Usop, tiba-tiba masuk hospital kena kencing manis dan minggu lepas Dollah tak semena-mena rebah masa buat senam robik, bila bawa ke hospital dia disahkan sakit jantung, mujur umurnya panjang, cuma diberi nasihat supaya jaga kesihatan dengan lebih lagi." 

Tidak semena-mena Ali berjanji pada dirinya sendiri, "Mulai esok, aku mesti joging sekurang-kurangnya 30 minit sehari selama enam bulan, aku berjanji, aku berjanji pada diri aku sendiri". Tanpa disedari ia sudah sampai di depan rumahnya dan Ali masuk ke dalam rumah dengan harapan yang menggunung untuk memulakan joging pada pagi esok.

Semenjak pagi itu Ali terus berjoging setiap hari tanpa henti walaupun dalam hujan. Pernah suatu masa dia tidak dapat keluar berjoging kerana hujan lebat ditambah dengan kilat dan petir. "Nampaknya hujan tak mahu reda, oklah aku joging dalam rumah," Ali berkata pada dirinya dan terus joging dalam rumah tanpa disedari oleh ahli keluarganya yang masih tidur dalam bilik masing-masing. 

Setelah sebulan setengah berjoging, Ali terasa begitu malas untuk meneruskan joging. "Malasnya aku nak joging, nak kata sakit, tidak, nak kata cuaca tak baik, semua okey. Ah, nak malas atau nak sangat malas ke, aku tak peduli, aku mesti joging juga," bisik Ali dalam hatinya dan ia memakai kasut dan terus berjoging dalam keadaan malas tetapi mampu juga menghabiskan 20 minit.

Setelah enam bulan berlalu, Ali terjumpa dengan Osman di tempat letak kereta tempat mereka bertugas dan Osman menegur sambil berkata, "Ali, lama tak nampak". Ali tersenyum dan berhasrat meneruskan perbualan dengan Osman. "Wah, lain macam badan engkau sekarang! Engkau diet atau makan ubat kurus, badan dah steady dan fit, berapa kilo hilang?" Osman bertanya pada Ali. Ali begitu senang dengan pertanyaan itu dan terus menjawab, "Aku tak makan ubat kurus atau diet pun tidak, aku joging selama enam bulan tanpa henti selama tidak kurang 30 minit sehari. Dulu berat aku 85 kg tapi sekarang 75 kg." Osman terpegun dengan penjelasan Ali sambil menyoal. "Macam mana engkau boleh jging sampai enam bulan, tak jemu atau malas ke?" Ali menambah, "Begiini Man, malas tu memang malas, selagi kita ni manusia kalau kata tak malas nak buat sesuatu yang baik dalam tempoh yang lama, maka itu tidak normal. Jadi kalau malas tu biasalah cuma yang penting kita mesti kuat semangat, berdisiplin dan tidak berputus asa serta melawan habis-habisan kemalasan supaya apa yang kita hajati akhirnya tercapai." 

Perbualan mereka berakhir sebaik sahaja waktu hampir pukul 8.00 pagi dan mereka bergegas menuju ke pejabat masing-masing untuk memulakan tugas.

Apa yang dapat kita pelajari daripada cerita di atas ialah, kita perlu bersungguh-sungguh melawan sikap malas itu supaya kita mampu mencapai apa yang kita tetapkan. 

Sunday, 2 February 2020

3. JIKA KITA DI TEMPATNYA

Sebelum membuat sesuatu keputusan melibatkan orang lain kita perlu memikirkan terlebih dahulu bagaimanakah perasaan kita jika kita berada di tempatnya. Lazimnya orang yang berkedudukan lebih tinggi atau berkuasa membuat keputusan tanpa memikirkan kesan yang dihadapi oleh orang berkenaan. Jarang sekali seseorang mahu memikirkan bagaimana perasaan orang berkenaan jika kita berada di tempatnya. 

Jika kita boleh memikirkan cara tersebut mungkin kita akan membuat keputusan dengan lebih baik dan rasional. Kalau kita tidak boleh terima keputusan yang dibuat oleh orang lain kepada kita bermakna samalah juga dengan mereka yang tidak boleh menerima apa yang kita lakukan kepeda mereka. 

Seorang ketua organisasi berhasrat untuk menurunkan pangkat pegawai bawahannya kerana ingin meletakkan staf yang lebih selesa dengannya tidak akan meneruskan hasratnya jika dia memikirkan apa perasaan orang bawahannya itu jika dia berada di tempatnya. 

Jika kita meneruskan juga harsrat seperti contoh di atas kita bukan sahaja akan mengecewakan orang itu tetapi juga secara tidak langsung kita memutuskan hubungan baik yang sedia wujud sebelumnya. Lebih baik kita tidak meneruskan hasrat tersebut bagi mengekalkan hubungan baik dan lebih-lebih lagi kita tidak mempunyai alasan kukuh melantik staf lain untuk mengambilalih tempatnya.

2. SIKAP POSITIF ATAU NEGATIF

Setiap orang memiliki sikap positif dan negatif. Mengamalkan sikap positif boleh membantu kita untuk hidup lebih berjaya berbanding dengan sikap negatif.  

Antara sifat positif seperti sabar, rajin, suka membantu, banyak membaca, jujur, rendah hati dan banyak mendengar.  Sikap negatif seperti malas, tidak menepati janji, dendam, riak, tidak amanah, penting diri sendiri, kurang membaca dan cepat marah.

Setiap sikap positif yang kita miliki itu kita harus mengekalkannya. Jika kita memiliki beberapa sifat negatif kita perlu berusaha merubahkan menjadi positif. Kegagalan mengurang dan menghapuskan sikap negatif boleh merugikan diri sendiri.


Friday, 31 January 2020

1. USAHA DAN DOA

Usaha dan doa diibaratkan seperti aur dengan tebing. Setiap usaha yang kita lakukan perlu diiringi dengan doa. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan kerana jika dipisah akan menyebabkan hasil yang dicapai bukanlah yang terbaik.

Apabila kita berdoa bererti kita mengharapkan setiap usaha yang dilakukan akan memperolehi kejayaaan. Kita juga perlu percaya yang kita hanya mampu berusaha tetapi Tuhan yang menentukan hasilnya. 

Doa yang kita pohon bukan sekali tetapi harus berkali-kali selari dengan usaha yang sedang kita lakukan. Seorang peniaga sebuah restoran bukan sahaja berdoa ketika dia hendak memulakan perniagaannya tetapi perlu sentiasa berdoa setiap hari seperti waktu pagi, tengah hari, petang dan malam iaitu ketika hendak menutup perniagaan. Berdoa bukan sahaja untuk mendapat keuntungan daripada pelanggan tetapi juga bagi tujuan perlindungan, keberkatan, petunjuk supaya kita dapat menguruskan dengan lebih baik. 

Setiap usaha yang diiringi dengan doa lebih memberi keberkatan dan kestabilan dalam apa jua aktiviti yang kita lakukan.


30. MENCARI JALAN ATAU ALASAN

Pepatah mengatakan, "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih."  Daya bermaksud jalan dan dalih bermakna alasan. Cuba kita in...